Followers

Pages

Saturday, February 7, 2009

Syahidnya Hasan Al-Banna kerana Ikhwanul Muslim..

SYAHIDNYA HASAN AL-BANNA

Imam Hasan al-Banna menjalani kehidupan yang penuh cabaran semenjak kecil sehinggalah beliau menemui ajalnya. Hidupnya tiada rehat langsung. Keseluruhan hidupnya ditumpukan kepada perjuangan Islam dan kebajikan orang-orang Islam. Beliau khusyu’ beribadat kepada Allah dan selalu mengkaji al-Quran serta Hadith. Tokoh Islam yang hebat ini mati syahid ditembak pada 12 Februari, 1949 di Kaherah ketika berumur 43 tahun.

Syeikh Muhammad al-Ghazali, seorang ulama’ besar Mesir telah memuji Hasan al-Banna dengan berkata demikian : “ Peluru telah menembusi jasad Hasan al-Banna yang kurus dan lemah kerana banyak bersolat dan berzikir kepada Allah. Jasadnya itu juga penuh dengan debu lantaran pengembaraannya di jalan Allah. Dahinya melambangkan kebiasaannya dalam memberi pengorbanan-pengorbanan yang besar. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“ Apabila seorang mukmin meninggal dunia, maka dia dibebaskan dari dunia dan dipindahkan ke dunia lain yang penuh nikmat dan kegembiraan “.
Pada awal abad ke 20, Hasan al-Banna mendirikan Al-Ikhwan al-Muslimin di Isma’iliyah, Mesir. Ia merupakan sebuah gerakan pertama di dunia Islam yang menjadi organisasi massa ( Syafiq Mughni 1999 : 195 ). Hasan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin adalah dua nama yang tidak dapat dipisahkan. Gerakan ini bukan sahaja merebak di Mesir, malah telah meresapi seluruh Dunia Arab. Gerakan ini juga telah mencetuskan kebangkitan Islam dan roh Islam di Dunia Arab. Kelahiran Hasan al-Banna menjadikan arah politik berdasarkan Islam. Beliau mempunyai visi dan pemikiran yang tersendiri. Untuk mengetahui siapakah Hasan al-Banna, kertas kerja ini akan menjelaskan latar belakang kehidupan dan pemikiran beliau yang berkaitan dengan dakwah Islamiah supaya roh Islam terus tertegak di mata dunia.
PENUBUHAN IKHWANUL MUSLIMIN

Pada bulan Zulkaedah 1347, bersamaan bulan Mac 1927, enam orang sahabat telah datang menemui Hasan al-Banna ( Wan Jaffree bin Wan Sulaiman 1990 : 157 ). Mereka begitu tertarik sekali dengan ceramah-ceramah yang diberikan oleh Hasan al-Banna. Dalam pertemuan tersebut, mereka telah berbincang mengenai cara-cara untuk menjalankan dakwah Islamiah. Wajah sahabat-sahabat tadi menggambarkan keazaman yang kuat untuk berdakwah di jalan Allah. Mereka berkata kepada Hasan al-Banna :

“ Kami telah mendengar ceramah awak. Kami telah berfikir mengenainya dengan begitu mendalam sekali. Kami sangat tertarik dengannya tetapi kami tidak tahu cara untuk bertindak dengan berkesan. Darah yang mengalir dalam urat saraf kami ini adalah darah yang panas. Kami memiliki Iman dan maruah. Awaklah yang lebih tahu cara yang paling baik untuk kami memberi sumbangan kepada Islam, umat Islam dan negara. Kami datang untuk menyerahkan segala milik kami agar kewajipan kami kepada Allah terlaksana. Awaklah yang akan memimpin kami. Kumpulan yang berjuang untuk Islam sahaja layak menerima kejayaan walaupun ianya kecil dan kelengkapannya kurang “.

Kata-kata mereka itu telah menyedarkan Hasan al-Banna bahawa beliau tidak boleh melepaskan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahunya. Maka beliau dan keenam-enam sahabat tadi telah bersumpah setia untuk hidup sebagai saudara antara satu sama lain, bekerja untuk Islam dan melancarkan jihad untuk kegemilangan Islam. Maka wujudlah pertubuhan ‘ Al-Ikhwanul Muslimin ‘ dengan kerjasama enam orang sahabat tadi.

0 comments:

My ShoutOut

Template by:
Free Blog Templates