Followers

Pages

Thursday, January 21, 2010

Komunikasi tanpa lisan

Jenis gerak geri badan

Istilah gerak geri badan ialah istilah popular untuk istilah lain iaitu ‘kinesik’. Para pengkaji bidang bahasa badan mengenalpasti terdapat lima jenis gerak geri iaitu:

Emblem

Emblem ialah gerak geri yang menggantikan perkataan yang kita ucapkan. Sebagai contoh, kita menunjukkan ibu jari tangan kanan untuk menggantikan perkataan “Bagus!” ataupun kita menunjukkan jari telunjuk untuk menggantikan perkataan “satu” ataupun kita membuat bulatan dengan menggunakan ibu jari dan telunjuk untuk menggantikan perkataan “kosong”.

Penggambar

Gerak geri ini kita buat seiring dengan kata-kata yang kita ucapkan. Gerak geri ini betul-betul menggambarkan apa yang kita maksudkan. Sebagai contoh, apabila kita berkata “besar”. Tangan kita bergerak untuk menggambarkan saiz besar itu. Ataupun, apabila kita berkata “mari naik,” kepala kita akan bergerak ke atas.

Pelukis rasa

Muka kita boleh melukiskan bermacam-macam perasaan yang kita rasai, antaranya marah, takut, ragu, geli, sedih, dan tak sabar. Gerak geri jenis ini mungkin timbul di luar kawalan kita, ataupun ia mungkin sengaja kita lakukan, umpamanya apabila kita hendak menunjukkan bahawa kita sangat marah.

Pengawal

Apabila kita mendengar orang-orang lain bercakap dengan kita, kita membuta gerak-geri untuk mengawal mereka bercakap. Adakalanya kita hendak memberitahu dia “Teruskan.”, ataupun “Nanti dulu.”, ataupun “Tolong berhenti bercakap.” Atau “Cepatlah.” Dan lain-lain lagi. Apabila kita hendak memberitahu dia bahawa kita berminat mendengar apa yang diperkatakannya, Kita mungkin mengangguk-anggukkan kepala dan mencondongkan badan kita ke depan.

Penyesuai

Gerak geri kita lakukan kerana ada keperluan untuk melakukannya. Sebagai contoh, apabila kita gatal, kita menggaru-garu, ataupun apabila bibir kita kering, kita jilat bibir kita. Ada sesetengah gerak geri pengawal yang dianggap tidak sopan, umpamanya perbuatan mengorek telinga atau hidung di depan orang lain adalah tidak sopan. Bahasa badan mempunyai enam fungsi utama.

Memberi tekanan

Kebanyakan bahasa badan yang kita gunakan sehari-hari adalah untuk memberi tekanan kepada apa yang sedang kita katakan. Sebagai contoh, sambil berkata sambil senyum, atau menumbuk meja, atau menuding telunjuk, atau sambil mencebik, atau sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Menambah maklumat

Ada kalanya, sambil kita bercakap, sambil kita memberi maklumat tambahan. Maklumat itu tidak kita sebut dalam percakapan kita, tetapi kita ‘ucapkan’ melalui bahasa badan kita. Sebagai contoh, semasa kita menceritakan sesuatu, kita menggeleng-gelengkan kepala kita memberi maklumat tambahan itu. Jadi, walaupun kita bercakap, orang masih boleh tahu apa yang tidak kita ucapkan.

Menafikan

Ada kalanya, mulut kita berkata sesuatu, tetapi kita sendiri tidak setuju dengan apa yang kita ucapkan itu, jadi, bahasa badan kita menafikan apa yang mulut kita ucapkan. Sebagai contoh, mulut kita berkata “ya” tetapi kepala kita berkata “tidak” iaitu apabila sambil kita berkata “ya” tetapi pada masa yang sama kepala kita menggeleng-geleng.

Mengawal

Ada masanya kita menggunakan bahasa badan untuk mengawal aliran percakapan. Sebagai contoh, kita mengangkat tangan untuk memberitahu bahawa kita mahu bercakap atau kita condongkan badan ke depan atau kita pandang orang itu tepat ke matanya. Atau kita angkat tangan untuk memberitahu orang itu kita belum habis bercakap lagi.

Mengulang

Ada masanya mulut kita becakap. Kemudian bahasa badan kita mengatakan perkara yang serupa juga. Sebagai contoh, mulut kita berkata, “Mari kita pergi sekarang” kemudian bahasa badan kita menunjukkan maksud yang serupa. Atau kita berkata, “Awak faham tak?” kemudian kita angkat kening kita.

Menggantikan

Ada kalanya, mulut kita diam. Sebagai gantinya, bahasa badan kita sahaja yang bercakap. Sebagai contoh, kita tidak berkata “Ya” tetapi cuma kepala kita yang mengangguk.

0 comments:

My ShoutOut

Template by:
Free Blog Templates