Followers

Pages

Sunday, January 24, 2010

Tujuan Pemerintahan dalam Islam


Tujuan pemerintahan dalam Islam

Para fukaha’ mengatakan khalifah itu merupakan imamah iaitu untuk menggantikan Nabi Muhammad s.a.w. dalam memelihara agama dan mengatur urusan dunia. Tujuan yang perlu dicapai dalam pemerintahan terdiri daripada dua perkara iaitu memelihara agama dan mengatur urusan dunia (Abdul Karim Zaidan, 1979:247).

1) Memelihara agama

Memelihara Islam bererti mempertahankan keutuhan ajaran-ajarannya terutama ajaran-ajaran agama dan kesuciannya serta berusaha menyebarkan dan mengembangkannya dalam kalangan umat manusia seperti mana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Seseorang pemimpin itu wajib memberikan penjelasan dan menyatakan sesuatu kebenaran dengan disokong oleh dalil-dalil yang kuat, agar kebenaran itu menjadi lebih jelas. Kerana kadang-kadang, terdapat muslim yang tersesat dari ajaran yang sebenar kerana terdapat kesamaran atau mengikut pendapat yang salah dan keliru. Sekiranya seseorang pemimpin itu telah menyeleweng dari tugasnya, maka umat berhak mengemukakan dalil-dalil yang benar untuk meyakinkannya. Jika pemimpin itu masih lagi dengan pendapatnya yang salah itu, maka ia harus diambil tindakan. Hal ini agar agama tetap terpelihara dari kesesatan dan umat akan terhindar dari kehinaan.
Di samping itu juga, dalam usaha menjaga dan memelihara agama, benteng-benteng pertahanan dan persenjataan perlu diperkuatkan serta menyiapkan tentera yang terlatih sehingga musuh tidak akan mampu melanggar kehormatan umat Islam serta tidak akan dapat menumpahkan darah umat Islam serta yang bukan Islam dalam kawasan negara Islam. Sebenarnya menolak musuh itu penting dalam memelihara dan mempertahankan agama. Ini kerana apabila negara Islam dikuasai oleh musuh Islam bererti hancurlah negara Islam dan ini merupakan fitnah terbesar yang menimpa umat Islam yang mana dapat melemahkan keyakinan umat Islam. Hal ini kerana orang bukan Islam sentiasa berusaha untuk menjauhkan umat Islam dari ajaran sebenar baik secara pujukan, paksaan atau penyesatan (ibid).

2) Pelaksanaan Ajaran Agama

Di dalam kepimpinan atau pemerintahan Islam, haruslah diterapkan peraturan-peraturan Islam dalam semua aspek kehidupan, baik peraturan yang berhubungan dengan sesama manusia, mahupun hubungan dengan negaranya, dan hubungan negara dengan negara yang lain. Selain itu, hendaklah mendorong dan mengajak manusia agar sentiasa berpegang dan mentaati hukum Allah, mematuhi perintah dan menjauhi laranganNya serta menghukum orang yang sengaja melanggar hukum yang telah digariskan dalam agama Islam (Abdul karim Zaidan,1979:249). Sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-An’am ayat 41:
41. Bahkan Dia lah (Allah) Yang kamu seru lalu ia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadanya jika ia kehendaki; dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu).

3) Mengatur Kehidupan Manusia

Urusan keduniaan termasuk bidang yang diatur oleh agama, yang mana agama mengatur negara dan rakyat agar tercapai kemaslahatan dan terhindar dari kerosakan. Ini dapat dilaksanakan apabila pengaturan kehidupan ini diatur oleh hukum-hukum agama yang terdapat di dalamnya syariat yang diperoleh melalui perantaraan ijtihad yang benar. Inilah siyasah syar’iyah untuk mengatur keduniaan yang mana di antara tujuan siasah syar’iyah itu tercakup dalam tujuan pemerintahan dalam Islam yang menjadi tugas pokok para pemimpin untuk mencapainya (ibid).


4) Menegakkan keadilan

Menegakkan keadilan termasuk dalam siyasah syar’iyah yang mana menjadi keharusan dalam mengatur urusan masyarakat dan ini tidak boleh sekali-kali diabaikan. Keadilan merupakan dasar tertegaknya sesebuah negara, tanpa keadilan negara dan bangsa tidak akan kekal. Keadilan bererti memberikan hak kepada setiap orang yang mempunyai hak, dan tidak berlaku zalim terhadap dirinya sendiri. Antara lain bentuk kezaliman ialah membebankan sesuatu yang tidak diwajibkan dalam agama atau mengambil harta orang lain dengan cara bertentangan dengan hukum atau menghalangi hak orang lain. Ibnu Khaldun menerangkan erti kezaliman itu bukan sahaja mengambil harta orang lain tanpa ganti dan tanpa alasan yang dibenarkan bahkan kezaliman itu mempunyai erti yang lebih luas lagi. Oleh yang demikian seseorang pemimpin itu haruslah menegakkan keadilan dan mencegah semua bentuk kezaliman dan ini menjadi tugas utama bagi seorang pemimpin (Abdul Karim Zaidan, 1979:250). Al-quran telah menetapkan ketentuan-ketentuan yang harus dilaksanakan oleh penguasa dan pemimpin dalam firmanNya menerusi surah Al-Qasas ayat 26:

Sesungguhnya sebaik-baik orang Yang ayah ambil bekerja ialah orang Yang Kuat, lagi amanah".

0 comments:

My ShoutOut

Template by:
Free Blog Templates